Citrawarna 2015 baru-baru ini cuba mengetengahkan sesuatu yang unik hasil arahan pengarah filem dan teater terkenal, Puan Sri Tiara Jacquelina. Namun program promosi pelancongan tersebut yang diadakan baru-baru ini pada 17 Oktober 2015 kelihatan kurang menarik dan sedikit janggal dengan konsep persembahan teater serta menyimpang jauh dengan pertunjukan fashion berkonsepkan futuristik.
Sebagai blogger bebas yang turut terlibat secara tidak langsung dalam mempromosikan produk-produk pelancongan dalam negara, saya mengambil kesempatan melalui surat terbuka ini untuk memberikan teguran membina kepada penganjuran Citrawarna 2015. Saya sangat mengemari ‘street festival’ yang mempromosikan kebudayaan, pakaian, tarian serta nyanyian rakyat Malaysia.
Pertamanya, lebih baik kita kembali menghayati objektif utama program Citrawarna 2015 iaitu mempromosikan kebudayaan serta destinasi-destinasi perlancongan dalam Malaysia.
- Program Citrawarna 2015 dimulakan dengan pertunjukan teater musikal MUD: Our Story of Kuala Lumpur selama sejam sebelum upacara dirasmikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz. Pada hemat saya, teater musikal ini tidak bersesuaian dengan Program Citrawarna 2015 kerana MUD: Our Story of Kuala Lumpur berkisarkan sejarah Kuala Lumpur dan tidak mencakupi keseluruhan negeri-negeri dalam Malaysia. Tambahan lagi, teater musikal tersebut adalah terlalu panjang dan meleret-leret walaupun diselangi dengan tarian-tarian tradisional. Tiada yang istimewa kerana teater musikal tersebut boleh ditonton di Panggung Bandaraya pada bila-bila masa tayangan sehingga 2017.
- Satu pentas utama di tengah Dataran Merdeka dengan pengunjung-pengunjung disempadani dengan penghadang. Saya tertanya-tanya bagaimanakah perbarisan kebudayaan akan diadakan. Rupa-rupanya Citrawarna 2015 hanya tertumpu kepada persembahan di pentas utama dan langsung tiada perbarisan. Jarak antara pengunjung terlalu besar sehinggakan kami hanya melihat melalui layar.
- Selepas perasmian, peserta persembahan kebudayaan yang terlibat lengkap dengan pakaian kebudayaan masing-masing diperkenalkan kepada pengunjung-pengunjung mengikut negeri-negeri yang diwakili oleh mereka. Saya menjangkakan akan ada persembahan kebudayaan dari setiap negeri-negeri yang diwakili. Namun dengan ‘sentuhan magis Tiara Jacquelina’, jangkaan tersebut meleset sama sekali apabila peserta persembahan kebudayaan hanya kembali ke pentas utama semasa sesi penutup Citrawarna 2015 dan sebelum konsert bermula.
- Lakonan teater musikal oleh Pak Nil, Yna Rose dll bagi mempromosikan ‘nature’ dan produk homestay di Selangor kelihatan canggung sekali apabila mesej yang cuba disampaikan tidak kunjung tiba. Mungkin ianya tidak lari daripada promosi pelancongan, tapi dimanakan citra dan warna yang menjadi titik tolak program ini? Adakah homestay sahaja yang ingin diketengahkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia?
- Disebabkan konsep teatrical panache ini, peranan emcee bagi Citrawarna 2015 adalah begitu terhad apabila layar-layar utama digunakan untuk menceritakan adegan-adegan dalam lakonan teater musikal. Secara tidak langsung, berlakulah kurang interaksi dengan pengunjung yang rata-ratanya hadir dengan anak-anak kecil.
- Tiga topeng saiz besar Mahmeri yang digoyang-goyangkan tanpa arah selama beberapa minit masih lagi meninggalkan tanda tanya dalam benak fikiran saya. Apa salahnya menjemput orang-orang asli mah meri membuat pertunjukan di pentas utama pada Citrawarna 2015?
- Elemen future yang diketengahkan dalam tema dipaparkan melalui peragaan fesyen dan dicampur adukkan dengan nature. Bagaimana elemen masa depan ini dapat diterapkan dalam kebudayaan dan pelancongan? Sebagai destinasi membeli-belah? Berapa ramai sangatlah yang mampu membeli pakaian-pakaian pereka fesyen negara Melinda Looi, Zang Toi, Rizman Ruzaini, Zery Zamri dan Rubaq Batik? Peragaan fesyen ini mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit.
Itu belum lagi pakaian-pakaian mencolok mata melalui pandangan kami yang duduk di atas tanah berdekatan pentas utama. Apatah lagi rata-rata penonton Citrawarna 2015 adalah keluarga yang membawa anak kecil. Terpinga-pinga anak-anak kecil yang duduk berdekatan dengan saya. Di sekeliling saya kedengaran ketawa-ketawa kecil memperlekehkan persembahan pakaian mencolok mata itu.
Jujur saya katakan Citrawarna 2015 mengecewakan. Saya lebih tertarik dengan Citrawarna tahun-tahun terdahulu yang mana kebudayaan digarapkan dalam perbarisan yang diwarnai pakaian-pakaian tradisional bangsa-bangsa yang terdapat di Malaysia. Besarlah harapan saya Citrawarna 2016 dapat mengembalikan objektif program Citrawarna. Tidak salah membuat pembaharuan tetapi ianya hendaklah bersesuaian dengan objektifnya.
Nota kaki: Gambar-gambar ini diambil setelah berhempas pulas ke barisan hadapan di pengakhiran Citrawarna 2015.
2 Comments
I still remember watching Citrawana on TV decades ago but now it is not attractive anymore. I love ur honest review Farah. =)
Just a fair opinion from my perspective. I do remember watching Citrawarna on TV and how regretful it was to see the recent Citrawarna.