Kalau menginjak kaki ke bumi Makassar, tidak lengkap percutian kalau tidak merasa satu kuliner khusus Makassar iaitu Coto Nusantara Makassar. Coto atau soto terdiri daripada sup sapi/daging yang pekat dengan ramuan istimewa yang dimakan dengan ketupat. Semasa di Makassar, kami berkesempatan mencuba Coto Nusantara Makassar yang merupakan favourite warga Makassar.
Kami ke sana pada waktu pagi. Terkejut apabila memasuki sebuah warung kecil yang mempunyai meja-meja kecil dan bangku yang kesemuanya penuh. Kami terpaksa menunggu seketika supaya dapat tempat duduk untuk makan Coto Nusantara Makassar yang legendaris ini. Rata-rata manusia dalam warung itu menikmati Coto Nusantara Makassar dengan penuh selera. Kami makin tak sabar menunggu giliran menikmati kuliner khusus ini.
Akhirnya kami pun mendapat meja dan lantas order diambil. Di atas meja, terdapat garam, sambal kicap, sambal, jeruk nipis dan juga ketupat.
Bagus juga kalau konsep begini, kalau yang suka makanan masin, boleh letak garam sesedap rasa. Menariknya di sini berbanding Malaysia, warga Makassar menikmati coto dengan ketupat.
Apabila order sampai, kami dihidangkan semangkuk kecil sup yang kaya rempah. Hanya dengan bau, kami dapat merasakan kehangatan rempah yang direneh dalam sup tersebut. Bukan itu sahaja, sup yang datang bukanlah sekadar sup daging malah, campuran semua organ sapi atau lembu.
Keenakan Coto Nusantara Makassar tidak menghairankan mengapa ramai yang sanggup datang ke Makassar semata-mata untuk mencuba Coto Nusantara Makassar. Ternyata asli Nusantara! Kedai Coto Nusantara Makassar ini bersilih ganti pelanggan dan sentiasa penuh. Kesabaran yang nikmat apabila dapat merasai coto ini. Disebabkan kehangatan rempah dan suasana, badan memang tak berhenti merembeskan peluh kalau tidak tahan makan pedas. Tapi sebab dah sedap, digagahi jua walaupun panas.
Kalau diikutkan nafsu makan, ingin sahaja saya menambah semangkuk lagi coto. Tapi disebabkan kami mempunyai aktiviti seterusnya yang telah dirancang, saya terus melupakan hasrat.
Kalau berkesempatan ke Makassar, jangan lupa untuk singgah menikmati kuliner khusus Makassar ini di Coto Nusantara Makassar.
2 Comments
Awak juga baru sekali makan Coto Makasar nama nya Coto Gagak, rasa nya memang mantap dan buat lidah bergoyang 😉
Salam kenal dari Indonesia
Coto Gagak itu di Makassar ya?