Sambungan daripada Kembara Laskar Pelangi & Dari Bangka Ke Belitung:-
Bila makin lama feri makin menghampiri jeti, tempat duduk penumpang dah makin kosong. Semua orang bersesak dan bertolak-tolak nak turun dari feri. Mungkin mereka semua tak sabar nak balik kampung masing-masing. Disebabkan kami adalah the only travelers dalam feri, kami mengambil kata putus untuk diam-diam menyamar jadi locals.
Tak berjaya juga bila kami terus diserang bertubi-tubi oleh pemandu-pemandu teksi dan penunggang motorsikal atau ojek. Riuh menawar harga yang pada kami masih terlalu mahal. Akhirnya kami bersetuju menaiki ojek dengan harga IDR10,000.00 seorang. Kami dibawa ke hotel yang mahal terlebih dahulu. Setelah menyatakan bajet kami, barulah kami dibawa ke Hotel Citra.
Rupa-rupanya jarak perlabuhan ke Hotel Citra sangat dekat dan kami boleh dengan sendirinya berjalan kaki. Kalau kami tahu direction lah. Hotel Citra ini hotel lama yang terletak betul-betul di hadapan KFC. Bilik standard kipas berharga IDR165,000.00 untuk dua orang. Hotel ini dimiliki oleh satu keluarga yang sangat membantu sepanjang kami di Pulau Belitung. Syukur, pertama kali kami berjumpa orang yang membantu kami.
Selepas kepenatan travel dari Palembang ke Belitung, kami berjalan di persekitaran Hotel Citra untuk melihat suasana malam. Memang meriah dengan gerai bergerak yang berada di sepanjang jalan. Yang menarik perhatian kami sememangnya tauhu paling enak pernah saya rasa iaitu Tahu Semedang Cakwe. Tahu Semedang ni asalnya daripada Bandung. Tapi hairan masa di Bandung, tak pula terasa ingin makan Tahu Semedang ni. Percaya atau tidak sepanjang tiga malam kami di Belitung, kami mesti tapau Tahu setiap malam.
Makanan asal Belitung adalah Nasi Goreng Pampi. Sebenarnya pampi juga dikenali sebagai kuew tiaw. Kenapa Nasi Goreng Pampi, tidaklah saya tahu pula. Tapi saya percaya Nasi Goreng Pampi diberi nama sebab nasi goreng digoreng seperti goreng kuew tiaw; digoreng dengan api besar. Cukup segala rasa dan ditambah dengan telur goreng. Ini memang makanan paling ekonomi untuk backpackers seperti kami. Enak lagi jimat.
Wifi memang tak ada di Hotel Citra mahupun KFC di hadapannya. Disebabkan kami yang telah banyak ditipu sebelum sampai Belitung, kami hidup penuh jimat. Hanya membeli bila perlu. Selebihnya perlu dicongak-congak agar kami punya wang yang cukup untuk terus menikmati keindahan Pulau Belitung.
Day 3 – Tanjung Pandan to Manggar
Selepas kami bincang dengan owner Hotel Citra, anak perempuan beliau yang agak pendiam bersetuju untuk membawa kami tour Manggar dan Gantong menaiki motor dengan bayaran IDR100,000.00 bagi tour tersebut. Tapi kami sewa motor dengan harga IDR70,000.00 satu motor. Kami dapat motor yang macam scooter. Not bad lah kan.
Selepas kami breakfast – hidangan Nasi Goreng Pampi, kami pun memulakan tour kami. Disebabkan jambatan penghubung Belitung ke Manggar melalui Badau runtuh dan sedang dibaiki, kami perlu menggunakan jalan alternatif yang lumayan jauh. Perjalanan kami melewati rumah-rumah kampung yang mirip dengan yang ada di Malaysia. Kehidupan kampung dan pasar-pasar pagi.
Perit bahang matahari di Pulau Belitung memang membakar kulit. Patutlah owner Hotel Citra pinjamkan saya jacket. Katanya takut ibu bapa saya tak mengenali saya bila pulang ke Malaysia.
Pantai Burung Mandi
Lokasi pertama kami. Pantai yang kosong tak berpenghuni. Pantai Burung Mandi memang terkenal sejak abad ke-17 apabila Eropah dan Belanda ligat mengusahakan industri bijih timah. Burung Mandi antara kawasan penghasil bijih timah yang terbesar. Industri bijih timah sejak zaman berzaman menjawab persoalan kewujudan sebilangan besar masyarakat Tiong Hua di Kepulauan Belitung. Pada zaman dahulu, orang-orang Cina dibawa masuk untuk menjadi buruh di kawasan bijih timah.
Kini, peninggalan penambangan bijih timah sedikit sebanyak mencemarkan lautan yang menjadi kebanggaan orang Belitung.
Vihara Dewi Kwan Inn
Tidak jauh dari situ, kami pergi ke Vihara Dewi Kwann Inn ataupun Vihara Buddyana. Vihara ini terletak di atas bukit dan menghadap lautan.
Antara yang menarik adalah kalendar yang saya jumpa tergantung di Vihara Dewi Kwann Inn. Selain daripada tarikh standard 3 Februari, tertulis di situ juga tarikh kalendar Arab, Jawa & Cap Jie Gwee.
Next post akan saya cerita pulak sesi terjah sekolah SD Muhammadiyah Gantong.
2 Comments
SD Muhammadiyah Gantong tu yang ada dalam novel dan filem Laskar Pelangi tu ke?
Kaum Cina ini mengingatkan saya pada filem itu.
Menarik juga dengar pasal makanan di sana 🙂
Aah. SD Muhammadiyah Gantong tu sekolah dalam novel dan filem Laskar Pelangi.
Di Belitung, banyak makanan Cina Muslim tapi rasanya jauh beza dari Malaysia.