Rencana Penggembaraan Gunung Tok Nenek
Starting Point – Rumah Tapah
Sekali lagi pada tahun ini, saya menyertai satu ekspedisi mendaki sebuah gunung iaitu Gunung Tok Nenek. Walaupun nama gunung ini agak tidak komersial, gunung ini bukan calang-calang gunung kerana ianya berada di ketinggian 6,284 kaki dari paras laut. Mengambil peluang cuti pada hari Isnin, saya dan rakan-rakan sepergunungan bergerak lewat malam hari Sabtu, 04/02/2012 sekitar pukul 1.30 pagi. Saya hanya mampu menemani rakan yang memandu separuh jalan kerana terlalu penat.
Sedar-sedar, kami tiba di Rumah Tapah sekitar jam 7 pagi. Berlaku sedikit kelewatan untuk sampai di Lojing, Gua Musang kerana kami menunggu satu kereta yang ketinggalan jauh di belakang. Mengambil peluang untuk mengumpul tenaga, kami tidur di dalam kereta sehingga pukul 8 pagi. Kemudiannya bermulalah persiapan memasak makanan tengahari dan pembahagian bekalan makanan sebanyak 3 hari 2 malam pendakian. Seperti kebiasaan, kami akan memunggah backpack kami dan menyusun semula barang-barang.
Lebih kurang jam 9 pagi, 4wD tiba dan kami memasukkan backpack ke dalam 4wD tersebut. Setelah semuanya selesai, kami dibawa ke tempat permulaan pendakian. Daripada Rumah Tapah ke starting point mengambil masa lebih kurang 20 minit. Di kawasan tersebut telah berlaku tanah runtuh yang menyebabkan 4wD tidak boleh masuk menghantar ke permulaan pendakian. Maka aktiviti treking bermula lebih awal daripada sepatutnya.
Pendakian Bermula
Di lereng bukit bertanah merah, pada jam 10.15a.m. seramai 16 orang pendaki memulakan pendakian di bawah matahari terik. Walaupun terpaksa berjemur di kepanasan, kami disajikan dengan pemandangan yang menghijau berbumbungkan awan biru. Selepas 15 minit berjalan, kami tiba di perkampungan orang asli disambut meriah oleh sekumpulan anak orang asli. Perjalanan kemudiannya disambung menerusi kawasan lapang dan pokok resam sehinggalah kami menemui anak sungai yang pertama untuk dilintasi sekitar pukul 11.25pagi.
Tepat pukul 12 tengahari, kami berehat; ada yang makan tengahari, ada yang menghisap rokok dan ada juga yang memulakan aktiviti melobi untuk tidur di Puncak Kambing. Untuk trip ini sebenarnya adalah pecahan daripada satu kumpulan besar yang mana 8 orang telah masuk ke dalam hutan sehari lebih awal untuk membuat Trans Yong Yap-Bubu-Tok Nenek. Pendaki-pendaki tidak mencapai satu kata sepakat untuk tidur berdekatan puncak gunung. Jadi sepanjang perjalanan, kami golongan yang ingin tidur puncak memulakan usaha meyakinkan rakan pendaki yang lain.
Trek Buluh
Pendakian diteruskan dengan trek buluh tumbang. Kenapa dipanggil buluh tumbang? Kerana rumpun-rumpun buluh tumbang menyebabkan kami perlu tunduk, merangkak dan juga mengengsot untuk melalui rimbunan buluh tersebut. Bukan satu, bahkan terlalu banyak sehinggakan saya sendiri sudah tidak kuasa untuk mengiranya lagi. Pada ketika kami sangka laluan buluh tersebut telah tamat, kami lagi sekali perlu merangkak menyusuri rimbunan tersebut. Kami tiba di Simpang Tok Nenek lebih kurang jam 1.45petang.
Perjalanan diteruskan dengan menyusuri anak-anak sungai, meniti di atas balak-balak tumbang dan merangkak di bawah rimbunan buluh. Kami kemudiannya pada jam 4.00 petang tiba di kawasan seperti taman rimba kecil sebelum sampai di Kem Laptop. Kami berhenti berehat sebentar sambil makan kudap-kudap yang sudah pasti dibawa oleh mana-mana pendaki. Kudap-kudap ini selalunya makanan ringan atau biskut yang jarang dimakan dalam kehidupan seharian. Disebabkan oleh faktor keadaan, kudap-kudap yang selalunya terdiri daripada choki-choki, biskut Tiger, coklat Crispy ini menjadi kegemaran. Sekitar jam 5ptg kami re-group kembali dengan sebagai satu kumpulan.
Re-grouping
Kaedah re-grouping yang dilaksanakan oleh guide kami, Boiy Nadz, adalah satu perkara yang patut dicontohi oleh guide-guide lain. Ini adalah kerana kaedah ini dapat memastikan keseluruhan anggota pendakian adalah dalam keadaan yang baik terutamanya dalam kumpulan pendaki yang besar, iaitu melibatkan 10 orang dan ke atas. Dalam pendakian, tahap fizikal antara individu adalah berbeza. Ada yang pantas seperti lipas kudung dan mahir dengan skil kehutanan, ada juga yang kurang pantas atas sebab kurang stamina.
Kadang-kadang ada juga berlaku kecederaan pendaki lain. Sekiranya yang pantas terlalu di hadapan, maka susahlah bantuan diberikan kepada yang memerlukan. Kadang-kadang dalam satu team pendakian, tak semua yang membawa first aid kit, andai kata first aid kit di hadapan dan tiada re-grouping, jenuhlah yang cedera menahan sakit sehingga ke tapak perkhemahan, selalunya di puncak. Jadi, re-grouping dapat penting dari segi head-count and keselamatan berkumpulan.
Lebih kurang pukul 5.15 petang kami tiba di kem Agas. Kami sekali lagi berhenti memandangkan selepas ini kami akan menyusuri anak sungai demi anak sungai. Bermakna kadar kepekaan berganda diperlukan untuk ini. Di tepi sungai-sungai, ada batu-batu yang disusun bertingkat bagi menandakan laluan agar pendaki-pendaki tidak sesat. Guide kami juga berpesan agar berhati-hati menyusuri anak-anak sungai kerana harimau gemar turun minum air di sungai bila matahari kian tenggelam.
Kem Hari
Lebih kurang pukul 7 petang kami tiba di Kem Hari, re-grouping terakhir sebelum malam menjelang. Bermula dari sini, laluan mencacak melebihi 75 darjah. Kami masing-masing mengeluarkan headlamp kami bagi memulakan pendakian di sebelah malam. Destinasi bermalam kami adalah di Tapak Perkhemahan tanpa nama yang dipanggil Last Water Point bersempena dengan punca air terakhir sebelum puncak Tok Nenek.
Setelah tiba di Last Water Point, pendaki perempuan diberi peluang membersihkan diri dan mandi terlebih dahulu memandangkan tugasan masak-memasak diberikan kepada pendaki perempuan. Selepas bergotong-royong memasak, kami semua menjamu selera dengan sepinggan nasi berlaukkan ayam masak merah dan sup sayur.
Bermulalah Pengundian Tidur Puncak
Perut sudah kenyang, badan pun dah penat tapi kami masih lagi perlu memutuskan samada kami ingin tidur di puncak keesokkan harinya. Ada yang tidak mahu tidur puncak, ada juga yang mahu tidur puncak. Puncak Gunung Tok Nenek memang terkenal dengan pemandangan Banjaran Titiwangsa dengan 360 darjah panorama. Yang pasti sunrise di puncak gunung diriaskan lagi dengan kepulan-kepulan awan memang menjadi perbualan rakan-rakan gunung.
Kami berdiskusi mendapat satu kata sepakat dengan memberi 3 pilihan. Pilihan A merupakan tidur di puncak. Pilihan B – bergerak ke puncak sebelum matahari terbit. Pilihan C – daypack ke puncak. Namun kami tidak mendapat autonomi untuk tidur di puncak, kami terpaksa berpuas hati dengan pilihan C iaitu daypack di puncak, kononnya seawal jam 7 pagi. Akhirnya, kami semua tidur berdampingan agas dan dengan bermuzikan dengkuran kepenatan rakan-rakan berselang-seli dengan bunyi cengkerik dan haiwan di hutan.
Ke Puncak
Pukul berapa agaknya kami mula naik ke puncak? Ya, pukul 10pagi. Lebih kurang pukul 11.40 pagi, kami pun sampai di batu tinggi yang perlu kami turun dengan menggunakan tali. Agak ekstrem juga laluan ini. Ini juga antara sebab mengapa kami tidak terus sahaja ke puncak Gunung Tok Nenek malam sebelumnya. Pendaki terakhir menuruni batu tersebut kira-kira jam 12.15tengahari.
Kami sampai di puncak Gunung Tok Nenek tepat jam 12.45 tengahari. Melereng di tepi cerun, kami memanjat kawasan dataran kecil bagi menikmati persada indah Banjaran Titiwangsa. Matahari seolah-olah tegak di atas kepala. Namun sedikit pun tidak kami endahkan kerana bukan senang mahu menikmati pemandangan seperti ini. Saya sendiri yang sudah banyak mendaki gunung-gunung di Malaysia jarang melihat permandangan seumpama ini. Gunung Tok Nenek seolah-olah berada di tengah-tengah banjaran pergunungan. Ianya dikelilingi oleh gunung-gunung lain.
Sesi Pergambaran
Turun ke Kem Laptop dan sesat di Kem Hari
Kami turun kira-kira jam 2 petang ke Tapak Perkhemahan dan tiba lebih kurang jam 4 petang. Kami kemudiannya berkemas dan mula turun untuk bermalam di Kem Laptop. Saya bergerak bersama Bond, Mira, Angah dan Pak Abu iaitu kumpulan yang paling belakang. Disebabkan kami yang kecewa tidak dapat tidur puncak berjalan agak santai, kami ketinggalan jauh kebelakangan.
Apabila tiba di Kem Hari, kami terus ke Sungai dan mendapati batu-batu berlumut seolah-olah tidak pernah dipijak. Memandangkan masa itu dah hampir senja, saya cukup risau sekiranya kami tidak dapat jumpa jalan yang betul. Antara Kem Hari dengan Kem Agas, memang banyak anak sungai yang perlu disusuri. Antara sebab kami sesat, kesemua kami merasakan sebelum tiba Kem Hari tempoh hari, kami ada menyusuri anak sungai.
Kami akhirnya dapat kesan kembali trek dan Bond mendahului kami di hadapan. Tiba-tiba dia mengeluarkan parangnya. Saya langsung tak perasan dan tidak tahu menahu. Hanya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur bahawa dia ceritakan yang pada masa itu, dia terbau hamis harimau. Kaget kami diserang, jadi dia pun mengeluarkan parangnya.
Tak lama selepas itu, Mira pula tersadung kayu dan jatuh. Kami berhenti sebentar berehat dan makan ala kadar sebagai mengalas perut. Lebih kurang jam 8.30 malam kami tiba di Kem Laptop dengan selamat. Kumpulan Trans Yong Yap Bubu Tok Nenek tiba tidak lama kemudian. Makanya, lebih kurang 24 orang bermalam di Kem Laptop pada malam itu. Riuh tidak terhingga dengan gelak tawa, usik mengusik dan ceritera masing-masing terutamanya sesi perkenalan dengan seorang pendaki amateur bernama Hadi.
Perjalanan Turun dan Sambutan Hari Jadi
Keesokan harinya, kami mula turun daripada Kem Laptop lebih kurang pukul 1 petang dan sampai di Simpang Y Besar lebih kurang pukul 3.15 petang. Berhenti bukan sebarang berhenti, berhenti ada makna. Pakabu menyambut hari lahirnya pada hari sebelumnya dan Fitz juga menyambut harijadinya. Sambutan hari jadi secara kasar pun dimulakan. Ianya upacara mandi dengan air bancuhan busuk telur, kicap, kopi dan seumpamanya yang diperam berhari-hari supaya naik bau yang tidak dapat dilupakan. Pak Abu dan Fitz diikat di sebatang pokok yang besar dan upacara mandi bersiram air busuk pun bermula.
Kami kemudiannya meneruskan perjalanan dan akhirnya tiba di perkampungan orang asli lebih kurang pukul 5.30 petang. Menariknya di sini, saya dan Pak Abu diikuti sekumpulan kanak-kanak orang asli yang mendendangkan kami dengan lagu-lagu patriotik, ada juga yang melaungkan azan! Hanya pada pukul 7.40 malam kami dibawa keluar ke Rumah Tapah. Kami selamat pergi dan selamat pulang!
7 Comments
wei..tu bkn merangkak la..tu aku tgh applykan teknik curik2 tido sambil trekking…
Eleh cover-cover pulak, yelah tu teknik curi-curi tidur sambil merangkak.
gunung tok nenek ni kat mana? try google map tak dapat..
Gunung Tok Nenek di berdekatan dengan Gunung Yong Yap. Di banjaran Titiwangsa.
assalamualaikum
sy minat dngt hiking tp sy xde geng nak join lagi…
boleh knl2 gan geng ni…kot2 ade kosong..boleh sy join…hehe
ni no sy 0125352028
InsyaAllah kalau ada peluang dan kesempatan saya akan roger awak. Btw, 4 Januari ni ada group nak berwater rafting, kalau berminat boleh join.
InsyaAllah kalau ada peluang dan kesempatan saya akan roger awak. Btw, 4 Januari ni ada group nak berwater rafting, kalau berminat boleh join.