Menu
Categories
Road to Rinjani – Day 3
May 15, 2012 Hiking

Perjalanan kami diteruskan ke kaki Gunung Rinjani yang terletak di Perkampungan Sembalun. Di kala kami masih lagi mencuba-cuba untuk tidur yang lena, terdengar satu bunyi deringan yang kuat menandakan kami semakin menghampiri perlabuhan. Terus kami bersiap untuk turun. Ternyata memang sudah ada wakil daripada MingLombokRinjani yang menunggu kami di pelabuhan.

Kami dijemput dengan menaiki van. Muat kami sepuluh orang dan juga backpack kami yang besar-besar. Perjalanan dari Perlabuhan Lembar ke kaki Gunung Rinjani via Sembalun makan masa hampir 3 jam. Melalui kawasan-kawasan kampung, kami dapat melihat kebangkitan warga Lombok di pagi Sabtu. Memang lain daripada yang lain, kesemua berpusu-pusu keluar dan berada di atas jalan raya.

Pada mulanya saya fikirkan mungkin mereka ingin menunaikan solat subuh di masjid-masjid yang tersergam di setiap satu atau dua kilometre di sepanjang jalan. Ternyata tekaan saya salah sama sekali kerana warga Lombok dari segenap lingkungan usia ini mengamalkan budaya hidup sihat dengan keluar berjogging seawal jam 5 pagi. Terkesima saya melihatkan budak-budak kecil berlari di sepanjang jalan besar yang merupakan laluan utama kenderaaan-kenderaan lain.

Ini membawa saya kepada kehidupan seharian yang mana saya langsung tidak mengendahkan budaya hidup sihat. Walaupun mempunyai taman-taman rekreasi yang cantik seperti Taman Rekreasi KLCC dan Ampang Hilir, saya cukup liat hendak berjogging. Melihat anak-anak kecil berlari-larian di jalan besar sebegini, betapa saya tidak bersyukur dengan semua fasilitasi yang ada. Saya tekad mahu berjogging apabila kembali ke Kuala Lumpur.

Apabila kami semakin menghampiri kawasan perkampungan Sembalun, pemandu van tersebut menunjukkan saya ke arah kawasan pergunungan Rinjani dan katanya di situlah destinasi kami. Kami kemudiannya mengambil guide kami di Masbagik dan bertolak ke kaki gunung Rinjani. Dalam perjalanan kami berhenti seketika di tepi jalan untuk mengambil gambar panorama yang cukup cantik.

Setibanya kami di perkampungan Sembalun, kami terus mengemaskan backpack dan membuat sarapan yang cukup mudah iaitu sandwich. Di sana, porter peribadi diambil bagi mengangkat bag yang berat dan juga ration makanan yang telah dibawa dari Malaysia. Bayaran bagi porter peribadi adalah Rp125,000.00 bagi setiap hari. Jadinya, kalau bayaran untuk 3 hari, Rp125,000.00 x 3 = Rp375,000.00. Untuk satu kumpulan yang beranggota 10 orang, 4 orang porter disediakan untuk mengangkat barangan team seperti khemah, perkakasan memasak dan lain-lain.

Backpack saya yang sememangnya besar tu dah berkurang banyak barang kerana saya banyak membawa peralatan kumpulan. Dengan yakin, saya nekad tidak mahu mengambil porter peribadi. Walaupun beg besar, muatan dah berkurang. Jangkaan saya silap memandangkan beg itu sendiri dah berat. Symbian Access terkenal dengan auto load lifter yang mengurangkan bebanan di bahagian belakang sekurang-kurangnya 8% daripada backpack biasa. Tapi dalam hal saya pula, pivoting belt yang dipakai di pinggang betul-betul menekan tulang rusuk saya. Sakit sangat. Sehinggakan untuk meneruskan satu langkah adalah dengan sekelumit keperitan. Yang saya suka bebanan di bahu bagaikan tidak terasa. Dan juga sistem bounce nye yang memudahkan pergerakan. Mungkin saya masih belum membiasakan diri dengan beg tersebut. Masalah bag melambatkan pergerakan saya berjam-jam lamanya.

Sebelum saya cerita dengan lebih lanjut perjalanan kami sepanjang hari tersebut, eloklah saya mulakan dengan latar belakang berkenaan Gunung Rinjani.

Gunung Rinjani yang terletak di Pulau Lombok, Indonesia merupakan gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia selepas Gunung Kerinci di Sumatera. Ianya terletak di ketinggian 3,726meter di atas permukaan laut. Keindahan panorama di gunung ini menyebabkan gunung ini menjadi gunung kegemaran pendaki-pendaki di Indonesia dan juga persada dunia.  Gunung ini memiliki kawasan seluas 41,330 hektar.

Gunung Rinjani tidak dibuka sepanjang tahun. Ianya akan dibuka dari bulan April hingga Julai memandangkan angin kencang biasanya berlaku di bulan Ogos. Pembukaan jalur pendakian bagi gunung ini hendaklah diperiksa dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kekecewaan di kemudian hari. Suhu persekitaran adalah sekitar 20°C dengan suhu terendah di puncak Rinjani mungkin mencapai 0°C.

Tarikan utama Gunung Rinjani adalah puncaknya dan juga danau kawah yang mempunyai ketinggian 2,000 mdpl yang dikenali sebagai Segara Anak. Untuk mencapai lokasi-lokasi ini, pendakian boleh dibuat daripada 2 titik permulaan. Yang pertama sekali adalah Sembalun Lawang, iaitu permulaan terdekat di ketinggian 1,200 meter dari permukaan laut. Permulaan ini merupakan permulaan yang digemari para pendaki kerana ianya berada lebih tinggi daripada permulaan dari Senaru. Untuk mendaki melalui Sembalun, walaupun laluannya agak mendatar, tetapi ianya cukup panjang dan perlu dilalui di bawah matahari yang terik. Ianya merupakan kawasan savana yang terik. Pancaran yang mampu membakar kulit lantas menukarkan warnanya.

Bagi permulaan Senaru pula, pendaki disajikan dengan pendakian yang memacak 90°. Namun demikian, cuacanya lebih baik kerana pendaki akan melalui kawasan hutan. Jalur pendakian ini sebenarnya terpaksa melalui padang pasir yang berbatu peroi.

Itinerari kami memerlukan kami mendaki melalui Sembalun. Setelah semuanya sudah bersiap, kami bergerak sekitar jam 9.45pagi menerusi kebun-kebun yang majoritinya menanam pokok bawang. Bak kata guide kami, bawang merupakan hasil yang paling banyak bagi perkampungan Masbagik, nama kampung tersebut. Selepas kami keluar dari kawasan kebun, kami menyelusuri jejak-jejak gunung berapi seperti pasir hitam yang membarisi laluan keluaran lava yang melonjak mungkin sekurun yang lepas.

Pada ketika matahari terik menyasarkan kulit-kulit kami, kami melalui kawasan savanah yang kelihatannya dingin tetapi amat perit bila terkena kulit kami. Sejuk tapi panas.

Di perawalan kawasan ini, kami agak teruja apabila melihat lembu-lembu tenusu yang tekun makan rumput rampai di kawasan savanah tersebut. Pit dalam diam memerhati punggung lembu yang ternyata lain daripada lembu-lembu lain dalam dunia. Punggungnya putih mulus. Kalau ada kategori seksi bagi lembu, maka lembu dalam provinsi inilah yang akan menjulang piala kemenangannya. Atau mungkin Pit yang songsang haluannya? 🙂

Panas. Terik. Beg yang berat dan menyagat pinggang. Di perawalan pendakian, saya sendiri muntah 3 kali. Jangan risau, ini memang perkara biasa. Muntah on trek. Kalau badan saya tidak cukup rehat, angin-angin dalam badan pun menolak segala apa yang dimakan. Selepas itu, beg yang berat terus dibawa oleh Shafeeq dan begnya yang kecil terus saya bawa. Berjalanlah kami berdikit-dikit melepasi jambatan-jambatan yang kelihatan separuh siap. Selepas bertanyakan kepada guide kami, beliau memberitahu dahulunya ada rancangan untuk membuat laluan bagi sukan motor di Rinjani. Namun, rancangan itu hanya separuh jalan dilaksanakan. Ternyata.

Akhirnya lebih kurang pukul 1 petang, barulah kami bertemu dengan rakan-rakan pendaki yang lain di Pos Tengengfan. Di sinilah lokasi lunch hour bagi semua kumpulan pendaki. Perlu dimaklumkan di sini, gaya pendakian di Rinjani adalah lain daripada pengalaman mendaki di tempat lain. Di sini, pendaki dilayan umpama puteri dan putera raja. Makanan dan minuman disiapkan. Walaupun kami membawa ration makanan dari Malaysia, porter dan tukang masak cuba sedaya upaya memasak mengikut kehendak dan cita rasa kami. Mula-mulanya, saya ingat kami sendiri yang akan masak. Rupanya tidak!

Perjalanan kami diteruskan, nyanyian demi nyanyian didendangkan oleh Migha. Berbukit-bukit telah kami kira namun kawasan perkhemahan masih belum tampak. Lantas kami pun mencari tempat-tempat berehat mengikut kemampuan kami. Pada masa itu hanya tinggal saya, Pit, Migha dan Lapore. Yang lain semuanya telah ke depan, mereka laju. Tidak lama kemudian, kami jumpa dengan Intan yang mukanya sudah pucat lesu. Oh ya, di sini kami melalui Bukit Zorro dan juga Bukit Penyesalan. Aduh, naiknya 90°. Mendongak kepala bukan kepalang. Memang membuak rasa penyesalan. Patutlah namanya begitu.

Di sini juga, kami bertembung dengan pendaki-pendaki Malaysia yang sedang menuruni gunung tersebut. Terkejut mereka melihatkan kami masing-masing memikul beg. Menyuarakan pendapat masing-masing dengan riak-riak menundukkan ketegaran pendakian kami, “Kilimanjaro pun tak susah macam Rinjani, saya dah naik Kilimanjaro pun tak susah macam ni” katanya. Bukankah kami perlukan kata-kata peransang dan bukannya kata-kata mendorong kejatuhan semangat kami? Kus semangat.

3 jam terakhir, Intan makin lama makin keletihan. Rupanya anemia menyerang. Malang sekali bekalan ubatnya telah dibawa naik oleh adiknya yang memang pantas mendaki. Kumpulan yang awal memang laju-laju. Kami pun santai berjalan menemani Intan dan diketuai oleh guide yang seringkali memainkan ukelelenya. Cuaca dah semakin sejuk, kami masih lagi di bukit penyesalan semasa matahari turun. Begitu indah dunia ciptaan Allah.

Kami akhirnya sampai di kawasan datar. Guide mula mengumpul sampah sarap dan membakar. Beliau kemudiannya mengarahkan kami mengelilingi unggun api yang marak bagi memanaskan badan. Wah, adegan dalam movie! Intan sudah pun berlinangan airmata, saya teramatlah faham penderitaan sakit semasa trekking. Saya juga kerap kali begitu terutamanya bila datang bulan. 20 minit kami melewati khemah-khemah pendaki lain yang sudah enak tidur. Kami masih lagi meneruskan perjalanan. Kadang kala terdengar Intan merungut – mengapa dibuatnya khemah begitu jauh.

Khemah kami betul-betul dekat permulaan mendaki puncak. Masa kami tiba, porter dan tukang masak sedang memasak makanan malam. Dua sahabat, Jia dan Cha sedang menikmati keindahan danau kawah. Entah apa yang disembangkan dalam kesejukan. Kami terus mengemaskan barang dan makan. Saya terus tanya sekiranya ada antara kami yang berniat tidak mahu naik puncak disebabkan kepenatan. Semuanya menjawab hendak naik. Dengan rehat yang singkat, kami perlu meneruskan pendakian jam 2 pagi.

Ayuh tidur, kalian. Masa itu emas.

 

Leave a Reply
*